Wednesday 31 October 2012

Khazanah Melayu



Puisi Melayu


Seloka
Puisi berunsur sindiran. Satira dalam seloka amat tajam. Seloka membawa unsur mengejek, mencemuh, menyindir, menempelak, memperli, mengusik  dan bergurau senda. Watak-watak bodoh seperti Pak Kaduk, Lebai Malang digunakan bertujuan memberikan pengajaran yang amat tinggi nilainya.

Contoh seloka :

Seloka Pak Kaduk
Sungguhlah malang nasib Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Adapun rumah bertandang duduk,
Rumahnya runtuh awak menumpang.

Pak Kaduk, oi Pak Kaduk,
Kalah sabung tapi menang sorak,
Pak Kaduk, oi Pak Kaduk,
Kurang fikir sebab banyak borak.

Mantera
Puisi berunsur sindiran. Mantera lazimnya digunakan dalam jampi serapah oleh pawang dan bomoh sebagai alat untuk berhubung dengan makhluk halus dalam konteks menghalau hantu atau aktiviti menyembuhkan penyakit. Untuk menghalau hantu, bomoh menggunakan serapah manakala untuk menyembuhkan penyakit pula jampi digunakan.

Contoh Mantera ( Serapah):

Ulit mayang diulit,
Ulit dengan jala jemala,
Yang darat balik ke darat,
Yang laut balik ke laut.

Contoh Mantera (Jampi) :
Batang kana batang kadam,
Batang buruk sangkar babi,
Hilang senak hilang tajam,
Aku tawar mintak menjadi,
Tajam tumpul tawar bisa,
Aku naikkan tawar,
Aku turunkan bisa.

Gurindam
Gurindam mempunyai motif nasihat dan tunjuk ajar yang berguna. Sesuatu perkara itu berlaku ada sebab dan daripada sebab itulah terjadi akibat. Tunjuk ajar dan nasihat yang dibawa oleh gurindam mengajak kita supaya berwaspada dalam hidup.

Contoh Gurindam :

Kalau tiada emas di pinggang,
Sanak saudara menjadi renggang.

Orang malas hidup sengsara,
Kalau rajin banyak saudara.

Apabila mata sudah kabur,
Apabila kulit sudah kendur,
Apabila gigi sudah gugur,
Apabila uban sudah bertabur,
Apabila selalu sahaja uzur,
Apabila kerap disuap bubur,
Itulah tanda akan ke kubur.

Monday 22 October 2012


AYAT MUDAH DAN AYAT MAJMUK

A. MAKSUD AYAT:

1. Ayat mudah/ ayat selapis/ ayat pendek/ ayat tunggal.
- ialah ayat yang hanya mempunyai satu subjek dan satu pradikat sahaja.
2. Ayat majmuk/ ayat berlapis/ ayat berkait/ ayat panjang.
ialah ayat yang mempunyai lebih daripada satu subjek dan/ atau lebih daripada satu pradikat.


B. MENUKARKAN AYAT MUDAH SUPAYA MENJADI AYAT MAJMUK : Syarat penukaran: 

i. Jangan mengubah maksud asal ayat yang diberi. 
ii. Jangan mengubah struktur atau susunan ayat. Ayat yang dahulu mesti didahulukan. 
iii. Sambung ayat dengan menggunakan kata sendi dan kata hubung.
a. Kata sendi : di, ke, dari, daripada, pada, kepada, demi, untuk, yang dan sebagainya.
b. Kata hubung : dan, tetapi, atau, maka, walaupun, oleh sebab….maka, walaupun ….namun
dan lain-lain. 
iv. Perkataan yang sama tidak boleh disebut semula kecuali ‘atau’ digunakan. 
v. Pastikan jumlah ayat yang hendak dibuat berdasarkan soalan yang diberi. 
vi. Ayat baru boleh dibuat jika sesuatu ayat mudah itu menceritakan perkara yang berlainan daripada perkara yang sebelumnya. 
vii. Nomborkan ayat majmuk yang telah dihasilkan. 


C. CONTOH MENUKARKAN AYAT MUDAH KEPADA AYAT MAJMUK 1 :
1. Ah Boon pergi ke pasar raya. Ibu Ah Boon pergi ke pasar raya. Mereka membeli gula. Mereka membeli ikan.
Ayat majmuk : Ah Boon dan ibunya pergi ke pasar raya untuk membeli gula dan ikan.
2. Hetty gemuk. Kakak Hetty kurus.
Ayat majmuk : Hetty gemuk tetapi kakaknya kurus.
3. Kaum lelaki digalakkan melabur. Kaum perempuan digalakkan melabur juga.
Ayat majmuk : 
1. Baik kaum lelaki mahupun perempuan, mereka digalakkan melabur.
2. Kaum lelaki atau kaum perempuan digalakkan melabur.
4. Dia malas belajar. Dia gagal dalam peperiksaan itu.
Ayat majmuk : Oleh sebab malas maka dia gagal dalam peperiksaan itu.
5. Dia sangat kaya. Dia kedekut.
Ayat majmuk : Walaupun kaya tetapi dia sangat kedekut.

Contoh 1 : 
(Tukarkan supaya menjadi 3 ayat majmuk)

Pasar malam itu diadakan di Jalan Tunku Abdul Rahman. Pasar malam itu diadakan pada hari Jumaat. Pasar malam itu menjual pelbagai barang. Barang yang dijual berharga murah. Ramai pengunjung datang ke situ. Mereka datang dari seluruh Kuala Lumpur.Mereka ingin menikmati suasana pasar malam di situ. Pasar malam itu sungguh meriah. Golongan muda tidak melepaskan peluang. Mereka berkunjung ke pasar malam itu. Mereka pergi bersama ibu bapa. Mereka pergi bersama rakan-rakan.
Jawapan :
1. Pasar malam di Jalan Tunku Abdul Rahman yang diadakan pada hari Jumaat itu menjual pelbagai barang dengan harga yang murah.

2. Ramai pengunjung dari seluruh Kuala Lumpur datang ke pasar malam itu untuk menikmati suasana pasar malam yang meriah tersebut.

3. Golongan muda tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pasar malam itu bersama ibu bapa dan rakan-rakan.

Contoh 2 : 
(Tukarkan supaya menjadi 3 ayat majmuk)

Kerajaan telah memberikan amaran tegas. Amaran itu diberi kepada pemilik kenderaan persendirian. Mereka dikehendaki memasang tali pinggang keselamatan ketiga. Ramai pemilik kenderaan masih engkar. Kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas. Kerajaan menguatkuasakan undang-undang. Pesalah akan ditangkap. Mereka akan didenda RM300. Pemilik kenderaan tersebut akan disaman. Penumpang ketiga itu akan disaman juga. Saman ini dapat dijadikan pengajaran.
Jawapan :
1. Walaupun kerajaan telah memberikan amaran tegas kepada pemilik kenderaan persendirian supaya memasang tali pinggang keselamatan ketiga tetapi ramai pemilik tersebut masih engkar.

2. Kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas untuk menguatkuasakan undang-undang dengan menangkap pesalah dan didenda RM300.

3. Baik pemilik kenderaan tersebut mahupun penumpang ketiga itu akan disaman supaya dapat dijadikan pengajaran.